10 November 2014

Adik. Kakak. Abang.

Sedang sepasang kekasih melayan perasaan masing-masing, diiringi alunan cerita Sixto dua minggu sebelum Hari Natal, si perempuan teringat akan mama dan abahnya yang sedang menghabiskan masa tua mereka di sebuah banglo yang masih belum habis dibayar.

Minggu depan, si perempuan bercita-cita tinggi untuk kembali berlari, di sebuah jambatan baru siap di kampung halamannya. Si perempuan lantas berniat mahu menjejakkan kaki di banglo itu.

Dua minggu lepas, adik bongsunya meminjam telefon bimbit rakannya di asrama, malu-malu minta hutang tuisyen yang tertunggak 10 bulan untuk dijelaskan. Adik bongsunya juga segan-segan minta wang RM400 untuk pertandingan orkestra yang bakal disertainya. Kebetulan, si perempuan baru dapat gaji. Jadi, separuh dari gajinya adalah rezeki si adik. Maka si kakak mengalah untuk perancangan yang belum ada persiapan.

Sedang Sixto mengeluh tentang hidup, muncul sebuah MPV hitam milik majikan yang pernah menjadi kenderaan si perempuan untuk ulang alik ke Publika, melintas laju betul-betul di hadapan si perempuan.

"You cakap abang you takkan makan kat tempat macam ni"

Si perempuan diam.

"Tengok, orang kaya pun datang makan kat sini"

Si perempuan masih diam. Kemudian bersuara.

"Raya hari tu I dah minta maaf dengan abang I"

TAMAT

No comments:

Post a Comment